Merdeka! Sejauh Mana Kemerdekaan Anda

30 August 2010 - Salam ambang kemerdekaan buat semua pembaca blogku.

Besok kita akan menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53. Sudah sekian lama Malaysia merdeka, kalo orang tu berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan dah pencen dah. Tetapi selama kemerdekaan yang kita kecapi selama ini, adakah diri kita betul-betul telah merdeka? Apakah erti kemerdekaan bagi anda? Tahukah betapa susahnya Bapa Kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman berusaha untuk mendapatkan "Merdeka" itu untuk Malaysia?

Pada akhbar Utusan Malaysia yang lepas, ada menceritakan tentang sri kandi negara yang mungkin tidak semua orang tahu selama ini, Datuk Siti Rahmah Kassim. Beliau telah menceritakan keperitan Tunku mencari dana untuk pergi ke London bagi menuntut kemerdekaan. Beliau juga merupakan wanita pertama yang menyerahkan gelang emas pemberian bapanya bagi menampung kos perjalanan tersebut. Malah bukan dia sahaja yang sanggup berkorban pada masa itu, golongan lelaki menyerahkan cincin, jam emas dan tongkat berkepala emas manakala golongan wanita menyerahkan menyerahkan barang kemas mereka. Sehingga ada yang menyerahkan kerongsang baju yang dipakai dan memegang baju mereka sehingga majlis tamat. Betapa peritnya untuk mendapat kemerdekaan pada hari ini. Tetapi setiap tahun kita menyambutnya dengan bergembira, terkinja-kinja di Konsert Merdeka. Aku tidak pasti, tahun ini masih diadakan Konsert Kemerdekaan lagi atau pun tidak. Bukankah kita harus memanjatkan kesyukuran terhadap kenikmatan Kemerdekaan yang kita kecapi selama ini.

Aku menonton Rancangan Galaxy di TV9 pada hari Jumaat yang lepas. Pelbagai versi artis memberi ucapan Salam Kemerdekaan. Dan aku terkesima mendengar ucapan dari artis veteran, Yahya Sulong. "Muliakanlah hari merdeka kita. Hargailah pengorbanan mereka yang telah berjuang selama ini". Ringkas, padat dan penuh bermakna.

Setiap hari Ahad aku akan ternanti-nati artikel yang ditulis Tengku Khalidah di akhbar Panca Indera. Sudah tentu artikelnya pada hari Ahad yang lepas berkisarkan erti kemerdekaan. Tetapi pada hari Ahad yang lepas aku kurang berpuas hati dengan permulaan perenggan pertama tentang artikelnya yang mengulas tentang segelintir rakyat Indonesia yang membuat onar terhadap Jalur Gemilang kita. Katanya biarkan sahaja, malah perlu dibalas dengan rasa cinta, budi bahasa molek. Tetapi lama kelamaan bila didalami apa yang cuba disampaikan aku mengerti. Merdekakanlah diri anda dari rasa hasad dengki yang boleh mencalar maruah diri, bangsa dan negara. Kerana sejarah akan mengatakan semua itu berlaku di mana, di negara mereka dan yang melakukannya pun mereka. Sedikit pun tidak terkesan kepada kita. Malah akhirnya mereka sendiri yang tersadai kepenatan.

Namun demikian pada artikelnya sebelum minggu kemerdekaan ini, beliau ada mengatakan bahawa karya seni hasil Tan Sri P Ramlee sebenarnya tidak menjadi hak sepenuhnya oleh warisnya mahupun negara kita, Malaysia. Royalti semuanya dibayar kepada Shaws Brothers. Nah! Sekian lama Allayarham telah kembali, malah anakandanya juga telah menyusul pergi meninggalkan kita, hasil karya seninya masih belum merdeka lagi. Aku amat berharap ada pihak yang mengambil pusing terhadap perkara ini. Nampaknya remeh tetapi jika diperhalusi, apalah erti kebanggaan kita selama ini terhadap karya seni Allahyarham, jika karya itu masih dijajah oleh mereka yang tidak sepatutnya. Merdekakan karya seni yang menjadi sanjungan kita selama ini.

British yang menjajah telah lama pulang dari tanah air kita. Tetapi minda kita masih terus dijajah. Wahai putra-putri negara, bebaskan mindamu dari dijajah. Tidak perlu bertindik lidah, tidak perlu bertindik pusat untuk kelihatan hebat dan bergaya. Tidak perlu juga berskirt pendek, baju yang menampakkan ketiak di hari persandinganmu, kan lebih elok dan manis bila kamu bersongket dan berkebaya.

Kini, kita tidak perlu mengangkat senjata seperti datuk nenek kita di zaman dahulu. Kita juga tidak perlu bergolok bergadai harta berkorban untuk mendapat kemerdekaan. Apa yang hanya perlu kita lakukan hanyalah, perliharalah kemerdekaan ini, muliakanlah kemerdekaan ini agar ia dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.

Merdeka

No comments:

 

talkIsaid Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino