Fakir Dan Hujan

 Picture source from: flickr.com

Di dalam sebuah negeri terdapat sebuah kampung yang aman dan damai. Penduduk di kampung ini kebanyakkannya melakukan kerja-kerja berladang dan menternak binatang untuk menyara kehidupan mereka.

Pada suatu hari, seorang fakir yang telah merantau berhari-hari, telah singgah di kampung tersebut. Fakir itu pergi di hujung kampung untuk membina pondok buat dia berteduh dari panas dan hujan. Disebabkan keadaan dirinya yang daif, dia hanya memilik sepasang baju,kain pelikat dan sehelai tuala. Itulah 3 harta yang sangat berharga yang dimiliki oleh fakir. Fakir begitu menjaga kebersihan pakaiannya, ini kerana setiap kali azan berkumandang, dia akan bergegas menuju ke surau berdekatan untuk menunaikan tanggungjawabnya. Walau bagaimanapun, tidak seorang pun penduduk kampung sudi bertanya kabar kepada fakir. Mungkin mereka merasakan jijik terhadap fakir.

Semenjak fakir itu menumpang di kampung berkenaan terdapat satu perkara pelik yang berlaku iaitu, setiap kali fakir membasuh persalinannya, hujan akan turun dengan lebatnya. Terpaksalah fakir menunggu beberapa hari untuk pakaiannya kering. Dan dalam masa beberapa hari itu juga kelibat fakir tidak akan kelihatan di surau. Perkara ini disedari oleh para penduduk kampung tetapi mereka tidak mengendahkan langsung kepayahan fakir. Malah mereka berasa lega, jika fakir tidak kelihatan itu maknanya hujan turun, dan tanaman mereka tidak akan kering.

Fakir berasa sangat susah hati setiap kali hari hujan. Ini membuatkan dia kesejukan, tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya kepada Tuhan dan dia juga kelaparan. Satu hari dia berazam untuk tidak membasuh bajunyer selama beberapa hari. Dan selama itu juga lah hujan tidak turun di kampung berkenaan. Cuaca sangat panas, tanah menjadi merekah dan kering-kontang, tanaman penduduk kampung juga layu dan mati. Ternakan-ternakan juga banyak yang mati. Kemarau telah melanda.

Penduduk kampung mula panik dengan situasi ini. Mereka mula berkumpul dan menuju ke rumah fakir. Penduduk kampung telah meminta fakir membasuh bajunya supaya hujan boleh turun bagi menamatkan musim kemarau yang panjang ini. Fakir yang masih lagi terkejut dengan kehadiran mereka, hanya mengangguk kesedihan menandakan dia bersetuju untuk menolong mereka. Sedangkan selama ini, tidak ada seorang pun menghiraukan kehadirannya. Setelah penduduk kampung balik fakir pun membasuh bajunya. Dan seperti yang dijangka, pada malam itu hujan pun turun dengan lebatnya. Telaga yang kontang kembali berisi air, tanah yang kering kembali subur, tanaman yang layu kembali segar. Hujan telah turun selama beberapa hari sehingga keadaan pulih seperti biasa.

Setelah keadaan pulih, penduduk kampung pun berkumpul sambil membawa pelbagai hadiah untuk disedekahkan kepada fakir. Ada yang membawa makanan, ada yang membawa pakaian dan ada juga yang membawa ternakan sebagai hadiah tanda terima kasih kepada fakir. Tetapi alangkah terkejutnya mereka apabila mereka tiba dihujung kampung, fakir sudah tidak ada di situ. Malah pondok usangnya juga tidak kelihatan. Tanah di situ lapang tanpa sebarang kesan. Sungguh kesal di hati mereka, kerana tidak menghiraukan langsung kehadiran fakir selama ini. Mereka pulang dengan rasa kehampaan yang amat sangat.


Cerita di atas merupakan dari sebuah favourite story book  semasa zaman kanak-kanakku. Just want to share with you all. Cerita ini telah diolah berdasarkan apa yang aku ingat. So, pikir-pikirkanlah moral of the stroy citer ni.

No comments:

 

talkIsaid Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino